KOTA KINABALU – Bilangan pesakit mental yang menjalani rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu meningkat sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, berdasarkan rekod sebanyak 400,227 pesakit mental sedang menjalani rawatan ketika ini.
“Peningkatan ini bagaimanapun selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu beban penyakit berkenaan akan meningkat 16 peratus menjelang tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Kempen Kesihatan dan Kecergasan Rohani dan Jasmani di Hospital Queen Elizabeth di sini hari ini.
Sementara itu, Rosnah berkata, Kementerian Kesihatan kini memberi fokus terhadap aktiviti promosi minda sihat dan penjagaan mental.
Menurut beliau, usaha itu termasuk pelaksanaan aktiviti menangani tekanan di kalangan pelajar selama enam bulan di beberapa sekolah sebelum diperluaskan ke semua sekolah tidak lama lagi.
Jelasnya, aktiviti itu antara lain bertujuan meningkatkan kemahiran daya tindak pelajar untuk menangani tekanan dengan penglibatan ibu bapa serta pihak sekolah.